ITB dijangka tubuh cawangan di Malaysia
Jumat, 10 Agustus 2012
ITB dijangka tubuh cawangan di Malaysia
Institut Teknologi Bandung (ITB) merencanakan membuka kampus di Malaysia. Berita ini disampaikan oleh Tan Sri Prof Dr Salleh Mohd Yassin, Mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada yang hadir dalam majlis berbuka puasa Ikatan Alumni ITB Cabang Kuala Lumpur (IA-ITB KL) pada Ahad 14 Ogos 2011 bertempat di Kediaman Prof Dr Jambari Hj Ali di Bandar Baru Bangi.
Selain Tan Sri Salleh dan tuan rumah, Prof Dr Saberi Othman, Ir Onn Yusof dan saya hadir atas undangan Prof Jambari. Isteri kami masing-masing pun hadir bagi memeriahkan lagi majlis itu. Inilah kali pertama saya hadir dalam pertemuan IA-ITB KL. Ikatan ini menggabungkan semua lulusan ITB yang berada di Malaysia.
Ahli Ikatan ini terdiri dari alumni ITB yang berasal dari Indonesia dan juga Malaysia. Dianggarkan seramai 200 orang sudah menjadi ahli Ikatan ini sejak ditubuhkan pada 2007. Ramai alumni ITB akan menjadi ahli sekiranya tahu kewujudan Ikatan ini.
Menurut Tan Sri Salleh, yang menggerakkan penubuhan cawangan ITB di Malaysia, perkembangan penubuhan cawangan ITB sudah hampir menjadi kenyataan, hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan. Alumni ITB yang berada di Malaysia berpeluang menjadi tenaga pengajar ITB Kampus Malaysia. Diura-urakan kampus akan didirikan di satu kawasan di Johor, namun ramai berpendapat lebih strategic jika kampus itu berada di sekitar Kuala Lumpur.
Ada juga timbul cadangan untuk mengadakan pra-universiti bidang perubatan, pergigian, sains dan teknologi di Malaysia sebagai “feeder” kepada universiti-universiti di Indonesia termasuk ITB. Melalui penubuhan kampus ITB di Malaysia adalah diharapkan hubungan silaturrahim antara rakyat Malaysia dan Indonesia dapat dipereratkan lagi. Malaysia sangat berminat menjadi “hub” pendidikan bagi warga luar Negara termasuk dari Timur Tengah dan Negara Afrika.
Gagasan untuk mengadakan kampus ITB di Malaysia dapat sedikit sebanyak meringankan penampungan ITB yang pada tahun 2008 yang sudah mempunyai mahasiswa seramai 17,000 orang. Kerajaan Malaysia mungkin boleh menawarkan biasiswa bagi pelajar-pelajar Indonesia yang pintar untuk belajar di Malaysia dan dengan itu menambahbaik kualiti sumber daya manusia serantau. Walau pun Bahasa Inggeris (BI) dicadangkan sebagai bahasa pengantar kampus ITB nanti, namun penggunaan Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Indonesia akan terus mendapat tempat di kedua-dua Negara.
Pihak ITB mungkin menghadapi sedikit masalah kekangan kewangan kerana ketika ini ITB sedang membina kampusnya di Jatinagor yang memakan biaya yang agak lumayan. Difahamkan bahawa sudah ada investor yang berminat untuk melabur jika kampus ITB benar-benar menjadi kenyataan di Malaysia. Satu kendala (halangan) lagi ialah buat masa ini Indonesia belum ada satu peraturan yang membenarkan mana-mana university Republik itu membuka kampus di luar Negara. ITB perlu mengambil langkah proaktif dan menjadi university pertama membuka kampus di Malaysia. Banyak university luar Negara telah membuka kampus mereka di Malaysia seperti Universiti Nottingham, Monash, dan Curtin. Sebagai seorang alumni saya sendiri sangat setuju sekiranya ITB membuka kampus di Malaysia dan jika tenaga diperlukan kami akan tampil membantu.
Selepas raya nanti Rektor ITB akan dating ke Malaysia dan dalam kesempatan itu nanti IA-ITB KL dapat memberikan dokongan kepada Pak Rektor agar pembinaan kampus ITB di Malaysia disegerakan.
Kita tunggu hari yang bersejarah itu.
Ismail Abdullah, Teras Jernang,
14 Ogos 2011, 11.00 malam.
Sumber: http://abmipapti.blogspot.com/2011/08/itb-dijangka-tubuh-cawangan-di-malaysia.html
0 comments:
Posting Komentar